top of page

Tamak dan Ekonomi

Writer's picture: IIUM SYNTAXIIUM SYNTAX

Oleh: Amru Khalid


Setelah menelusuri beberapa pembacaan tentang idea-idea oleh tokoh Barat dalam menyusun idea ekonomi sedia ada kini, terdapat sebahagian dari mereka yang percaya akan daya tolak dan dorongan ekonomi adalah dengan menerapkan sifat tamak dan pentingkan diri sendiri. Falsafah yang tertanam dan diulang sebut ini menjadikan konsep tamak sebagai sesuatu yang semakin diterima umum, sedangkan perkataan ‘tamak’ dan ‘pentingkan diri sendiri’ itu sendiri mempunyai konotasi negatif ke atasnya.


Falsafah Ekonomi Klasik


Seperti yang disusun oleh Adam Smith dalam adikarya beliau iaitu Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations, beliau memperkenalkan konsep tangan ghaib, yang menjustifikasi fenomena satu-satu tindakan manusia di dalam pasaran untuk mengejar keuntungan diri sendiri, yang sendirinya akan beri manfaat kepada masyarakat.


Seperti yang dikatakan oleh Robert L Heilbroner dalam karyanya The Worldly Philosophers[1], konsep tangan ghaib yang diperkenalkan Adam Smith itu hanya berfungsi dengan sebenar ketika zaman beliau hidup, yang mana dunia ketika itu boleh digelar sebagai ‘dunia persaingan atomistik’ (atomistic competition). Namun ianya tidak lagi berfungsi dengan sempurna ketikamana bentuk pasaran sudah berubah. Persaingan dalam pasaran masa kini sudah dimanipulasi dan telah mengganggu tekanan dalam persaingan, tidak lagi hanya ‘perfect competition’ seperti pada zaman Smith.


Falsafah ekonomi klasik yang disusun oleh Smith ini, secara mudahnya, ingin mengatakan bahawa ketamakan seseorang penjual itu adalah baik, kerana ia bakal kemudiannya memanfaatkan masyarakat keseluruhannya.

“It is not from the benevolence of the butcher, the brewer or the baker that we expect our dinner, but from their regard to their self-interest.”[2]


Cara pandang yang beliau usulkan ini telah diserap oleh kebanyakan penyusun teori ekonomi selepasnya, yang mempercayai bahawa dengan ketamakan dan pentingkan diri akan membawa kepada kebaikan dan mencetus dayacipta (inovasi) dalam kalangan ‘entrepreneur’ atau usahawan.


Sifat Tamak Dijunjung


Tanpa menafikan sumbangan Adam Smith kepada dunia, tulisannya sangat berpengaruh dan sangat penting kepada dunia. Namun, tidak terhenti sekadar di situ. Falsafah tamak dan pentingkan diri ini dipegang zaman berzaman oleh ahli ekonomi, termasuk oleh pemenang Anugerah Nobel 1976 dalam bidang sains ekonomi, Milton Friedman. Beliau merupakan pengasas kepada aliran ekonomi ‘monetarist’ yang menekankan fungsi kerajaan hanya kepada mengawal jumlah duit dalam aliran. Dalam satu wawancara, beliau berkata;

“If government played a role on this, only by keeping the road clear, for human greed and self-interest to promote the welfare of the consumer.”[3]


Walaupun kelihatan baik dan membantu masyarakat, tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Mengutip kata kata dakwaan daripada dokumentari The Yes Men Fix The World, walaupun digunakan perkataan ‘kebebasan’ (freedom) sebanyak 374 kali di dalam tulisannya Capitalism and Freedom[4], tetapi kebebasan yang dimaksudkan bukanlah kebebasan daripada belenggu keterikatan atau kebebasan lain. Akan tetapi ‘kebebasan’ yang dimaksudkan ialah kebebasan sesebuah korporasi untuk mengaut sebanyak mungkin keuntungan, tanpa menghiraukan risiko kepada rakyat lain, juga tanpa sekatan daripada kerajaan.


Dalam dokumentari itu, wawancara diadakan bersama pembawa idea (penyokong) Friedman tentang isu kecelakaan dan kemalangan di Bhopal, 1984, yang melibatkan nyawa ribuan manusia. Kira-kira lapan ribu penduduk tempatan menemui maut dalam tempoh dua minggu, akibat terdedah kepada kimia berbahaya, dan dikira sebagai ‘the worlds’ worst industrial disaster’ oleh BBC.[5]


Jawapan yang diberikan dari kejadian itu adalah sangat mengecewakan dan menghampakan, kerana mereka seolah-olah telah hilang perikemanusiaan. Ada yang menganggap kemalangan dan malapetaka seperti ini sebagai satu keuntungan oleh sesetengah pihak kerana meningkatkan kerja-kerja dan pergerakan ekonomi. Ia diakhiri pula dengan kenyataannya bahawa risiko sebegitu adalah sesuatu yang mesti dihadapi dan merupakan lumrah untuk maju menuju masa hadapan.


Falsafah Ekonomi Islam?


Meneliti falsafah Barat yang berpegang kepada falsafah individualisme, dan fokus ekonomi yang tertumpu kepada kepuasan (utility-centered), mereka percaya bahawa daya tolak kepada kemajuan dan kebaikan kepada masyarakat, adalah pada ketamakan (greed) dan persaingan bagi mendapatkan kepentingan masing-masing. Tetapi apakah benar secara fitrahnya, tamak itu mendatangkan kekuatan kepada manusia untuk menghadirkan kebaikan kepada manusia?

Jika melihat kepada peradaban Islam, tokoh tokoh ilmuwan muslim yang telah menghasilkan pelbagai teori dan memberi sumbangan yang amat signifikan dalam hampir kesemua bidang ilmu itu, apakah tamak yang memandu mereka melakukan sedemikian? Apakah kerana mereka mengejar kepentingan peribadi yang menjadi daya lonjakan kepada pencapaian mereka? Apakah falsafah seperti tamak yang mendorong cara fikir mereka untuk terus menghasilkan tulisan-tulisan yang begitu mengkagumkan?


Sudah tentu tidak. Adapun apabila kita sendiri meneliti hasil karya mereka, tidakkan mungkin kita mampu katakan ianya adalah hasil dari ketamakan mereka, bahkan kerana sedarnya mereka akan tanggungjawab kolektif (fard kifayah) mereka.[6] Andai benar kita telusuri dengan teliti, maka dapat kita lihat betapa kesungguhan dan ketekalan mereka itu adalah kerana cinta mereka akan ilmu dan kebenaran yang dianugerah Tuhan!


Sisi Pandang Lain


Tidak adil kiranya tanpa dijelaskan kembali maksud Adam Smith berkenaan pentingkan diri (self-interest) yang dimaksudkan. Ramai yang merujuk Smith hanya pada bukunya The Wealth of Nations, tetapi mengkesampingkan karya pentingnya yang lebih awal iaitu ‘The Theory of Moral Sentiments’. Dalam karyanya ini, beliau membahaskan banyak berkaitan dengan moral, di mana salah satu perkara yang beliau istilahkan sebagai ‘impartial spectator’ yang harus sentiasa menjadi pendamping dan sebagai tukang semak-imbang atau ‘check and balance’ terhadap segala perkara yang dilakukan oleh manusia.[7]


Apa yang dimaksudkan oleh Adam Smith mungkin disalahtanggap sebagai pentingkan diri sendiri melebihi orang lain, akan tetapi sesetengah ahli akademik percaya bahawa ia adalah lebih kepada berfikir tentang memperbaik keadaan diri atau survival diri. Ada yang membezakan antara pentingkan diri sendiri (selfishness) dengan tumpu-kepentingan sendiri (self-interest). Maka dengan menumpukan kepentingan sendiri (self-interest), jika setiap orang melakukan sedemikian dalam masyarakat, akhirnya ia akan bermanfaat kepada keseluruhan masyarakat jua.


Smith mencadangkan dalam karyanya, kita mesti merasakan seolah-olah kita terpandu oleh ‘impartial spectator’, di mana kita meletak diri kita yang ‘impartial’ (neutral) sebagai orang lain yang memerhati dan menilai tindakan diri kita sendiri.


Charles Eisenstein dalam bukunya ‘Sacred Economics’, mengulas tentang tamak yang pada beliau akan membawa kesan buruk kepada manusia. Dalam dunia ini, pada beliau, sentiasa wujud dua aspek yang berlawanan (dual-existence), dan kerapkalinya perjuangan menentang yang jahat itu akan berterusan sehingga memenangkan pihak yang baik. Mengutip sedikit kata-katanya;


“The war against evil imbues every institution of our society. In agriculture it appears as the desire to exterminate wolves, to destroy all weeds with glyphosate, to kill all the pests. In medicine, it is the war against germs, a constant battle against the hostile world. In religion, it is the struggle against sin, or against ego, or against faithlessness or doubt. It is the mentality of purifying and purging, or self-improvement and conquest, of rising above nature and transcending desire, of sacrificing oneself in order to be good. Above all, it is the mentality of control.”[8]


Kesimpulan


Kesimpulannya, tamak ini adalah sifat yang mesti dikawal dan bukan sebagai justifikasi kepada kelemahan diri dalam menangani kehendak nafsu. Walaupun kelihatan baik pada luarnya, hakikatnya secara naluri pasti wujud rasa bersalah untuk berpendirian dengan cinta akan ketamakan. Dalam perkataan Eisenstein, “They are lacking in something fundamental that you and I have, some basic decency, basic goodness.”[9]


Dan Ia telah memberi kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu dalam menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya, lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.”[10]


Rujukan


[1] Robert L. Heilbroner. “The Worldly Philosophers: The Lives, Times and Ideas of the Great Economic Thinkers”. (New York: Touchstone, 1992) 58-59

[2] Ibid, 55

[3] Dokumentari “The Yes Men Fix The World-P2P Edition 2010”. Filem oleh Andy Bichlbaum dan Mike Bonanno

[4] Milton Friedman. “Capitalism and Freedom”. (University of Chicago Press, 1982)

[5] BBC News. 7 Jun 2010. Arkib daripada asal pada 7 Jun 2010. Diterima pada 7 Jun 2010.

[6] Setia, A. (2013). Al-Ghazali on the Proprieties of Earning and Living: Insights and Excerpts from His Kitab Adab Al-Kasb Wal-Ma'ash for Reviving Economies for Communities. Islamic Sciences, Vol. 11 (Summer 2013) No. 1.

[7] Adam Smith, The Glasgow Edition Of The Works And Correspondence Of Adam Smith (1981-1987)

[8] Charles Eisenstein. “Sacred Economics”. (Evolver Editions’ Publications, 2011) 20

[9] Ibid, 21

[10] Abdullah Muhammad Basmeih. “Al-Quran Android”. (Surah Ibrahim 14:34)

Recent Posts

See All

Comments


SIGN UP AND STAY UPDATED!
  • Grey Twitter Icon

Syntax, Bachelor of Economics Council IIUM, Established 2016

bottom of page