Oleh: Dini Nurhani
Sebelum memulakan perbincangan tentang permasalahan sistem perbankan, terdapat beberapa pernyataan bagi mengelakkan kekeliruan konsep iaitu;
Sistem Perbankan Islam (Islamic Banking- IB) adalah tidak sama dengan Sistem Kewangan Islam (Islamic Finance System - IF). Kritikan dalam penulisan ini bukan untuk IF tetapi hanya untuk IB sahaja.
Islamic Banking (IB) Islamic Finance (IF)
Tulisan ini juga menganggap sistem perbankan islam (IB) sama sahaja dengan sistem perbankan konvensional (Conventional Banking - CB), jadi kritikan terhadap sistem perbankan dalam tulisan ini mencakupi perbankan islam dan juga perbankan konvensional.
Islamic Banking (IB) = Conventional Banking (CB) = BERMASALAH
Maka, dengan memahami dua pernyataan di atas, semoga dapat mengelakkan kekeliruan konsep dalam kalangan pembaca dalam penulisan ini. Harus dijelaskan bahawa penulisan ini merupakan penulisan yang ringkas terhadap permasalahan sistem perbankan. Jadi, pembacaan lanjut masih diperlukan untuk memahami masalah akar sistem perbankan ini.
Sisi Dr Jekyll & Mr Hyde
Perbankan secara keseluruhannya boleh kita tamsilkan mempunyai sisi Dr Jekyll dan Mr Hyde. Hal ini kerana, sistem perbankan kelihatannya sebagai sistem yang sangat baik dan telah membantu kita untuk memudahkan aktiviti seharian, tetapi tersembunyi juga sisi jahat di dalam sistem ini yang jarang disedari orang ramai.
Apakah sisi Dr Jekyll dan Mr Hyde yang dimaksudkan?
Sisi Dr Jekyll
Sisi dr Jekyll bagi sistem perbankan ini adalah bersifat mikro, di mana ianya memudahkan aktiviti individu dalam kegiatan hariannya seperti berikut:
Memudahkan kita untuk menyimpan wang
Boleh menjana lebih banyak wang
Kemudahan untuk menggunakan kad debit dan kredit ke mana-mana tanpa membawa wang
Kemudahan bank atas talian yang membuatkan kita boleh membayar bil-bil elektrik, air, telefon dan sebagainya di mana-mana
Menyediakan perkhidmatan pinjaman wang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta
Sisi Mr Hyde
Seringkali, kita terlupa akan impak yang lebih besar kepada ekonomi secara keseluruhan (makro) dan hal ini kita boleh gambarkan sebagai Mr Hyde yang membuat destruksi sosial dalam masyarakat. Antara sisi Mr Hyde adalah:
Punca utama permasalahan krisis-krisis yang berlaku di kebanyakan negara
Berlakunya inflasi dan meningkatnya kadar orang yang hilang pekerjaan juga bermakna tingginya kos sara hidup
Ketidaksamarataan dan kemiskinan
Menyebabkan rakyat tidak boleh lari daripada kehidupan berhutang, atau pemilikan tanpa perhutangan terlebih dahulu
Jatuh muflis
Tiada kenaikan gaji yang sesuai dengan kadar inflasi
Kita boleh lihat bahawa sisi Mr Hyde semakin kerap ditunjukkan oleh sistem perbankan ini. Hal ini dapat kita selidiki apabila krisis-krisis yang berlaku di seluruh dunia adalah dalam julat 1-3 tahun sahaja berbanding berpuluh tahun sewaktu kita menggunakan sistem emas dan perak dahulu.
Walaupun, ada juga masyarakat yang sedar akan krisis dan masalah yang kita hadapi, mengapa kurangnya tindakan daripada kalangan masyarakat terhadap isu ini?
Merasa selesa dalam pematuhan keadaan sedia ada (Comfort in conformity)
Kebanyakan daripada manusia masa kini mempunyai rasa selesa dengan pematuhan keadaan sedia ada (comfort in conformity), dan seboleh mungkin cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Hal ini kerana kita merasakan semua hal yang berlaku ini adalah lumrah (natural) walhal sistem yang sebegini baru wujud selama berpuluh tahun sahaja iaitu sejak kejatuhan sistem Bretton Wood pada tahun 1970.
Selain daripada itu,
Pernahkah anda terfikir bahawa;
Mengapa hampir 80% penduduk dunia perlu berhutang apabila mahu memiliki rumah atau kereta? Mengapa kita setuju dengan pembayaran balik hutang melebihi daripada jumlah yang kita pinjam?
Definisi riba yang disalah erti sebagai usury dan interest
Riba sering ditamsilkan sebagai usury atau interest dalam kebanyakan tafsir quran dan silibus pembelajaran di universiti. Tetapi adakah itu definisi yang tepat? Menurut Prof Aslam (2017), terdapat empat definisi riba iaitu;
Bunga/Faeah yang melampau (Usury)
Bunga/Faedah (Interest)
Hasil yang tidak diusahakan sendiri (Unearned gain)
Eksploitasi (Exploitation)
Apabila kita memberi definisi riba sebagai usury (1), ini bermakna kita mengakui bahawa kita boleh meletakkan bunga dan faedah tetapi tidak secara melampau.
Jika kita meletakkan definisi riba sebagai interest (2) pula, adakah negara yang mengalami tiada kadar bunga (interest-free) atau negative interest seperti Jepun adalah negara yang bebas daripada riba? Riba masih juga boleh berlaku dalam kes ini sebenarnya.
Riba, secara yang lebih tepat boleh dedifinisikan seperti definisi yang ke (3) dan (4) di mana dalam kerangka sistem perbankan atau tidak, ianya masih berlaku jika riba adalah mengeksploitasi mereka yang meminjam dan memperoleh hasil yang tidak disuahakan sendiri (no counter value-iwad).
Jadi, masyarakat harus sedar akan definisi riba yang tepat supaya kita boleh mengelak diri kita daripada terjebak dalam hal ini. Dengan melakukan pinjaman/pembiayaan persendirian atau pinjaman/pembiayaan perumahan, tidak kiralah sama ada ianya melalui perbankan konvensional atau perbankan islam, ianya bermakna kita mengambil riba jika kita tamsilkan riba sepertimana definisi yang ke (3) dan ke (4).
Bagi perbankan islam, definisi yang ke (4) juga sesuai untuk kita memahami bahawa nilai pembayaran balik yang diletakkan adalah sangat tidak berpatutan dengan jumlah pembiayaan yang diberikan. Tiada nilai yang diusahakan sendiri yang bersesuaian dengan jumlah wang lebihan berpuluh atau ratus ribu yang dikenakan walaupun mereka mengakui perbankan islam tiada terdapat unsur riba.
Adakah lagi permasalahan dalam sistem perbankan?
Tentunya ada.
Permasalahan sistem duit (Monetary system) dalam dunia kewangan
1) Wang Kertas (Fiat or Paper Money) - FM
Nilai wang kertas RM50 tidak akan sama dengan kos mencetak wang kertas tersebut. Kita andaikan jika kos pencetakan adalah sebanyak RM 1, jadi terdapat lebihan RM 49 yang bank negara akan peroleh bagi setiap percetakan duit bernilai RM50. RM 49 yang diperoleh ini dinamai seigniorage, atau bahasa mudahnya untung bank daripada mencetak duit ini. Bayangkan betapa banyak yang bank negara jana keuntungan daripada percetakan wang ini. Percetakan wang ini dikhabarkan mewakili 3% kekayaan di dunia ini.
Dimanakah lagi 97% kekayaan dunia?
2) Sistem Perpecahan Simpanan/Rizab (Fractional Reserve System) - FRS
Sistem ini merupakan sistem yang berakar umbi daripada segala jenis pinjaman/pembiayaan yang diberikan oleh bank kepada peminjamnya. Daripada duit bernilai 1 juta USD, mereka dapat menjana wang 9 juta USD daripadanya.
Sistem ini seterusnya membawa kerosakan dengan wang yang dijana diniagakan dalam pasaran pertukaran wang asing (Foreign Exchange Market - ForEx) yang merupakan pasaran terbesar di dunia masa kini. Walhal wang sepatutnya hanya bertindak sebagai tiga fungsi iaitu:
Medium penukaran barang (Medium of exchange)
Unit akaun - boleh dikira (unit of account)
Penyimpanan nilai - terhad dan mempunyai nilai seperti emas (store of value)
Tetapi dalam pasaran ForEx, wang telah menjadi komoditi/barangan/servis dan wang dijana melalui pertukaran nilai mata wang yang tidak stabil setiap hari. Jumlah transaksi pula adalah sebanyak 3 trillion USD setiap hari.
Tetapi dimanakah barangan atau servis daripada transaksi 3 trillion USD itu?
Pinjaman daripada bank kepada syarikat + FM + FRS = Foreign Exchange Market + Stock Market + Debt Market + etc
Masih merasakan sistem perbankan kita tidak bermasalah?
Untuk memahami hal ini dengan lebih lanjut, pembaca boleh menonton dokumentari dan tulisan seperti;
97% Owned - Economic Truth Documentary documentary
*Tulisan ini adalah susulan daripada diskusi yang dianjurkan oleh Islamic Finance Council dengan kolaborasi bersama Unriba & Movement for Monetary Justice. Dapatan ini juga banyaknya adalah daripada tiga panelis pada hari itu, iaitu Professor Dr Aslam, Professor Nazari dab Dato Abdul Manap.
Comments